Kampong Talang - where it all begins...

"There is only one thing in life worse than being talked about, and that is not being talked about" - Oscar Wilde

Friday, March 07, 2008

I Don't Want to Sleep Alone


07 March 2008 - Nantikan ulasan aku berkenaan filem di atas - I don't want to sleep alone. A film by Malaysia-born Tsai Ming-Liang. Very good film to me, compared to Yasmin Ahmad's Muhsin. I do not have the energy to write now, since it was all drained out to to concentrate and I am hungry!

* Ulasan *

Nota: Aku bukanlah pengkritik atau orang yang buat ulasan filem. Aku cuma saksikan filem di atas, atas kapasiti peribadi. Apa yang kamu baca, adalah pandangan aku.


Filem ini, nak dikatakan berat, tidak berat. Dan tidak juga ringan. Ia menggalas kompleksnya hubungan antara sesama manusia. Dan ia mendukung tema jerat (perasaan terjerat atau terperangkap) dan jua perasaan ingin bebas yang kadang-kadang bergaul-sama di dalam sesuatu situasi.

Hendak diringkaskan, Rawang seorang pekerja asing Bangladesh merawat Kang yang dibawa oleh rakannya balik kerana Kang dibelasah. Filem ini tidak punya dialog, yang membuatkan kita bebas untuk menganalisa. Rawang yang merawat Kang sehingga sembuh – tidak pernah jemu. Dalam pada itu, Chyi jua muncul dalam hidup Kang. Chyi terperangkap dengan kerja di kedai kopi dan dalam masa sama terpaksa merawat anak kepada bos perempuannya yang terlantar di rumah. Akhir sekali, Kang yang sudah mampu hidup sendiri, terus mengikuti Chyi ke loteng tempat tinggalnya, di mana Rawang mengekorinya dan cuba membunuhnya kerasa merasakan Kang dengan senang meninggalkan segalanya.

Kalau kita perhatikan, tilam di heret ke sana kemari di dalam filem ini. Sebenarnya, kisah Anwar Ibrahim begitu dekat dengan Tsai Ming-Liang, kerana pabila beliau pulang ke Malaysia dalam 1998, kisah AI begitu hangat, dan tilam terpakai menjadi aset penting di dalam filem ini. Ia mulanya dijadikan Rawang tempat tidurnya, dan mejadi lebih bermakna bila Kang yang dalam proses untuk sembuh boleh tidur di atasnya jua. Tilam itu jua bagaikan saksi perasaan Rawang terhadap Kang. Dan kerana tilam sebagai tugu itu jua, membuatkan Rawang ingin membunuh Kang yang selama ini mengisi kekontangan hidupnya. Manakan tidak. Dalam tahun 1998 juga, banyak angan indah kaum Bangladesh tidak kesampaian kerana ekonomi Malaysia merudum teruk. Ramai yang terperangkap di Malaysia, tiada kerja, terpaksa berjauhan dari keluarga, tidak mahu pulang ke Bangladesh kerana ingin terus mencari rezeki di Malaysia. Ini yang bijaknya Tsai Ming-Liang yang dapat menyaksikan ini semua dan menggarapnya di dalam filemnya.

Perasaan terperangkap itu, disalurkannya kepada Kang yang perlu dirawat. Dalam pada itu, perasaan terperangkap/tidak bebas juga ada di dalam diri Chyi yang tidak mampu punya pekerjaan lain selain merawat lelaki yang nyata lumpuh, anak kepada bos perempuannya. Semua mencari jalan untuk bebas. Chyi menjumpainya di dalam diri Kang yang mampu memberikan dia kebebasan untuk kenal seorang lelaki – dan bukannya hanya hidup di kedai kopi sahaja. Sementara bos perempuannya rasa terjerat kerana punya anak terlantar, dan dia tidak bebas seperti dahulu. Ini tekaan aku kerana, bos perempuan itu merupakan wanita yang punya rupa dan pernah melalui hidup warna warni suatu masa dulu.


Ketiadaan dialog banyak membantu proses pemikiran. Semasa tilam di junjung ke kawasan “rumah” orang Bangladesh ini, mereka lalu Penjara Pudu. Penjara Pudu banyak mengambil tempat di dalam filem ini. Semua ini adalah gambaran jerat dan ketidakbebasan yang ingin diutarakan. Paling tidak ketara adalah kekeliruan, kekusutan dan terperangkapnya perasaan dan hidup Rawang. Dia terpenjara kerana keadaan ekonomi di Malaysia masa itu, dan kekosongan hidup. Hadirnya Kang, mampu mengisi itu semua, sehingga Chyi merampas Kang. Tiada kesan yang Kang punya perasaan sama terhadap Rawang sehinggalah di akhir filem ini – mereka bertiga di atas tilam yang sama. Seperti yang aku rasakan, tilam itu bagaikan bukti kompleksnya sesebuah hubungan dan bagaimana sesuatu yang kompleks itu boleh terlerai.

Skor - lagu-lagu yang diguna di dalam filem ini agak menarik dan kena. Walaupun banyak lagu Tamil, Cina digunakan, namun bait-bait senikata lagu, memanifestasikan lagi pergelutan perasaan yang ada di antara karakter di dalam filem ini. Lagi yang terakhir, semasa mereka bersama di atas tilam, itu amat menyentuh rasa. Perihal kasih yang boleh hadir dalam apa jua bentuk, walaupun terpaksa dikongsi - mungkin jua, ada baiknya merasa kasih walapun tidak secara total, tapi cukuplah sekadar berterima kasih dengan apa yang ada, dan dapat melupakan hidup yang sedia sengsara.

Lakonan – dari segi lakonan, peniaga pasar malam Norman Atun yang kali pertama berlakon amat memberangsangkan. Aku sukakan lakonan dia yang bersahaja. Tsai Ming-Liang pun mengakui. Norman Atun tidak perlu diberitahu begitu banyak tentang apa yang diinginkan. Norman Atun dijumpai di pasar malam sewaktu beliau sedang menjual kuih. Percubaan Tsai Ming-Liang menjadi. Kekuatan Norman ada pada keaslian perasaannya yang mampu diterjemahkan kepada lakonan beliau. Aku masih mampu maafkan kerana, aku rasa sukar mahu mencari pekerja Bangladesh seperti Norman Atun, tetapi watak Bangladesh itu tidak lagi menjadi ketara tatkala menyaksikan pergelutan perasaan terjerat, yang inginkan kebebasan berpaksikan pula keterseksaan berbeza yang didukung oleh watak-watak lain di dalam filem ini.


Aku tidak mahu memberikan bintang. Itu bukan tugas aku. Aku bukan pengkritik filem. Aku cuma penyaksi. Selepas menyaksikan filem ini, aku berangan sebentar. Aku di dalam kelas filem – apresiasi filem. Aku bagaikan teruja ingin bercerita tentang filem ini – dari konteks perasaan terjerat yang inginkan kebebasan, tilam itu sendiri, jerebu yang diketengahkan dan lain-lain. Jika anda inginkan filem santai, aku rasa, ini bukan filemnya. Kalau anda inginkan filem santai yang tidak masuk akal, Muhsin sedia menanti.

2 Comments:

At March 08, 2008 4:31 PM, Blogger LUKE said...

dengar kata filem ni ada sequel berjodol;

'i oso dont want to sleep alone'

lakonan ani mayonis, tushee dan nasseer wahab.

ops.

 
At March 29, 2008 6:05 AM, Anonymous Anonymous said...

huhuhu detail gila... aku pun tengah dok compile ulasan filem2 nih...

 

Post a Comment

<< Home