Kampong Talang - where it all begins...

"There is only one thing in life worse than being talked about, and that is not being talked about" - Oscar Wilde

Monday, March 03, 2008

Jalan-jalan Di Khartoum, Sudan

Khartoum, Jumaat 29 Feb 2008 – Pengembaraanku di kota Khartoum masih diteruskan. Nagi, berjanji untuk membawa aku pusing-pusing di kota ini. Nagi, pemandu yang pernah memberi khidmat kepada aku dua, tiga bulan dahulu. Tetapi sekarang beliau ditugaskan untuk memandu sekumpulan jurutera lain. Pada Jumaat itu, Nagi berjanji untuk mengelakkan aku dari kebosananan, dia ingin meluangkan masa untuk menemankan aku untuk solat Jumaat, ke Souk Al-Arabi dan melihat sekitar Khartoum. Jadi perjalanan kami pada Jumaat yang panas itu dimulakan dengan menuju masjid untuk menunaikan solat. Nagi memutuskan untuk solat di masjid As-Shaheed sahaja. Masjid ini dibina untuk mengingati mereka yang telah pergi semasa pertempuran dengan Selatan Sudan di mana secara umumnya adalah pihak Kristian. Selepas perperangan, pihak Utara Sudan (Khartoum dll), memeterai penjanjian damai antara kedua belah pihak.

+ Masjid As-Shaheed yang aku jejaki bersama Nagi untuk bersembahyang Jumaat tempohari

+ Masjid As-Shaheed dari perspektif berbeza

Seperti biasa, tindakan aku untuk mengambil gambar sekitar masjid akan menarik perhatian beberapa individu tempatan. Di kalangan khalayak tempatan, mereka masih merasakan negara mereka diintip dan ada beberapa kejadian dia mana kamera dirampas, atau paksaan untuk melupuskan gambar-gambar yang telah diambil. Aku berasa takut tatkala beberapa pemuda sedang memerhatikan aku mengambil gambar masjid itu. Semasa aku tengah gusar, Nagi muncul dari tempat wuduk, dan “menyelamatkan” aku. Kami terus ke masjid yang sudah agak penuh. Satu perkara yang menarik di Khartoum ini, waktu solat Jumaat agak berbeza dari satu masjid ke masjid yang lain kerana ingin memastikan semua dapat bersolat. Jika anda terlepas dari bersolat pada 1:30 pm, ada masjid yang mulakan solat pada 2:00 pm dan sebagainya. Jika anda tidak biasa, mungkin anda terpaksa bertanya dengan kalangan rakyat tempatan tentang waktu solat di sesebuah masjid.

+ Seorang lelaki Sudan yang mengenakan serban yang biasanya dikenakan oleh lelaki Sudan yang lain - dikenakan pula dengan jelabiyyah (jubah) mereka

+ Pondok ini adalah tempat untuk melepaskan dahaga, kerana secara am, Sudan agak panas

Selesai sahaja solat di As-Shaheed, ketika matahari masih merona panas, kamu teruskan langkah. Tujuan sebenar, ingin menuju ke Souk Al-Arabi di mana aku ingin mendapatkan sepasang Jelabiyyah (atau lebih tepat, sepasang Arra’agi) untuk Luke di Nigeria. Akan tetapi, Nagi ingin menunjukkan kepada aku sebuah lagi masjid yang tersergam indah di pertemuan dua Nil itu – Nil Biru dan Nil Putih. Masjid ini dikenali dengan An-Neyleen. Neyleen bermaksud – Dua Nile. Nagi sudah memerhatikan aku kali pertama dahulu semasa di dalam perjalanan ke Omdurman (Omdurman adalah bandar di sebelah Khartoum, dan pernah menjadi ibu negara sebelum Khartoum). Pada pertama kali melihat masjid itu, aku sudah teruja dengan senibinanya – saling tak tumpah seperti Pusat Sains Negara di Malaysia dan The Esplanade di Singapura. Jadi, tidak lengkaplah kalau kami tidak singgah di masjid ini.

+ Nagi, lengkap dengan jelabiyyahnya di depan An-Neyleen

+ Titik pertemuan DUA Nil yang boleh kita saksikan di gambar di atas

+ Sungguh indah senireka Masjid An-Neyleen ini

+ Aku sukakan Masjid An-Neyleen ini di dalam foto di atas - agak berseni bagi aku. Kecantikannnya masih terserlah

Jika Sudan tidak merasa terlalu paranoia, mungkin tempat ini boleh dibangunkan untuk menarik pelancong. Rasa amat takjub apabila berdiri beberapa meter dari pertemuan dua Nile di benua Afrika ini. Siapa tidak kenal dengan Nil. Aku dapat saksikan Nil Biru yang datangnya dari Ethiopia dan Nil Putih yang datangnya dari Uganda. Nil yang berpadu itu terus membelah bumi Afrika ini untuk menuju ke Mesir. Aku telah ditegur di dalam bahasa Arab di mana pengawal keselamatan tidak berasa senang dengan tindakan aku mengambil gambar. Aku berhenti seketika tatkala Nagi mula menaikkan suara. Nagi menerangkan kepadanya, jika tiada orang dibenarkan mengambil gambar, manakan dunia akan tahu Sudan bukanlah tempat yang begitu sukar untuk dilawati dan didiami. Aku cuba ceritakan kepada dia yang aku punyai laman web di mana aku boleh ceritakan kebaikan orang Sudan, kecantikan negara ini dan bagaimana cuacanya boleh menjadi terlalu panas – sama seperti negara-negara lain, ada kelebihan dan ada kekurangannya. Jika kita sudah terbiasa dengan kesenangan, mungkin Khartoum akan menjanjikan pengalaman agak perit di mana tiada bangunan tersergam indah, tiada jalanraya bertingkat-tingkat, tiada pasaraya besar berhawa dingin untuk mengelak hentaman matahari – tetapi, aku cuba tidak terlalu taksub dengan kekurangannya, dan cuba cari kekuatannya.

+ Sempat pula aku rakamkan wajah Imam kepada Masjid An-Neyleen ini. Perhatikan lelaki yang di tepi kiri. Aku punya kisah berkenaan beliau nanti.

+ Senireka dalaman kubah Masjid An-Neylen, agak indah dan mengigatkanku kepada Masjid Wilayah di Kuala Lumpur

+ Nagi memberi cadangan untuk bersolat di sini minggu hadapan

+ Lelaki di kanan, pantas menelefon rakannya untuk bertanyakan apakah 'balah' di dalam Bahasa Inggeris. Balah adalah Kurma.

+ Ketika aku di perkarangan luar Masjid An-Neyleen, lelaki bisu ini, yang aku temui di dalam masjid tadi semasa mengambil gambar imam, membuat isyarat bersungguh-sungguh kepada aku. Rupanya, dia inginkan gambar dia dirakamkan juga :)

Selesai sahaja lawatan di Al-Neyleen, aku dan Nagi tiba di Souk Al-Arabi. Aku menjadi teruja di mana aku dapat lihat satu kehidupan. Adegan membeli dan menawar. Souk adalah tempat lambakan barang-barangan yang agak murah harganya, dan kebanyakannya dari China. Aku suka berada di tempat sebegini, mengingatkan aku kepada kedai-kedai di Petaling Street satu masa dulu, dan juga di Lekki dan Yaba, Lagos. Aku sukakan kehidupan sebenar. Aku ke souk (pasar) ini kerana ingin mencari Arra’agi untuk Luke yang kini berada di Nigeria. Nagi mencari tempat di mana aku membeli Arra’agi aku dahulu. Tetapi kami berjumpa tempat yang lebih bagus dari segi harga dan aku berkeras aku tidak mahukan pakaian yang datangnya dari China. Budak lelaki empunya si penjaga kedai, menawarkannya untuk SDG25. Aku puas hati kerana aku fikirkan, aku tidak punya peluang lagi selepas ini kerana pemandu baru aku, tidaklah seramah Nagi. Masih ada tembok antara kami. Nagi agak lain. Dia baik hati bagi aku dan selalu membantu. Oleh kerana Bahasa Inggerisnya yang agak baik, jadi tiada masalah “lost in translation” antara kami. Setelah aku habis membeli, aku ditarik ke kedai lain di mana aku dipertontonkan dengan tasbeh. Aku kurang berminat. Akan tetapi, tatkala aku melangkah keluar dari kedai tersebut, sang empunya kedai mengeluarkan sesuatu yang ingin dijualnya kepada aku semahal SDG100 – ia adalah tanduk ‘rhinocerus’. Aku terperanjat, kerana aku cukup mengutuk perbuatan pembunuhan binatang kecuali ayam untuk dimakan! Bagi aku binatang-binatang liar ini terlalu cantik untuk dikorbankan sedemikian. Aku cuba menyatakan yang aku tidak sukakan tindakan dia, tetapi dia tidak memahami aku. Dan akhirnya aku tanya apakah tujuan barang tersebut – katanya boleh dijadikan rantai, dan untuk lelaki, gunakan pisau dan asah untuk mendapatkan serbuknya dan kacau bersama air. Ia akan bertindak lebih hebat daripada viagra! Aku terus berlalu.

+ Souk kembali bernyawa setelah selesai solat Jumaat. Lihatlah keadaan manusia di sini - ramai

+ Anak muda ini berusaha mencarikan Arra'agi yang sesuai untuk aku jadikan buah tangan kepada Luke di Nigeria

+ Mungkinkah ini adiknya atau tokey kedai ini, dia hanya senyum lebar dan duduk di kerusi

+ Arra'agi pun sudah dibeli, seorang lagi peniaga menyuruh aku melawat kedainya

+ Empunya kedai ini bangga menunjukkan tanduk sang rhinocerus untuk dijadikan alternatif kepada Viagra

+ Arra'agi yang aku beli

Setelah mengelilingi masjid An-Neyleen dan mengutip pengalaman di Soul Al-Arabi, aku dibawa Nagi ke satu tempat, yakni tempat perkelahan yang dikenali sebagai Ghaba As-Sunuut. Jangan anda bayangkan Long Beach di California, dan bukan juga Port Dickson yang dulunya tempat perkelahan agong, dan kini sudah sarat dengan sampah sarap dan juga menjadi lokasi pendaratan pendatang. Ghaba As-Sunuut, yang membawa makna kawasan hutan dipenuhi pokok As-Sunuut, cumalah kawasan pergigian air, sebelah Sg Nil.

+ Kawasan 'pantai' yang ditumbuhi dengan pokok-pokok As-Sunuut, kerana itulah ia mendapat nama

+ Si peniaga kopi

Agak ramai yang membawa keluarga untuk sama-sama berkelah dan menghabiskan waktu hujung minggu, ada yang memadu kasih di gigi air, ada yang membasuh van, ada pula yang datang berseorangan untuk menjamu tekak dengan asap Shisha dan melayan fikiran. Semua itu gelagat yang aku saksikan di sana. Nagi mengajak aku untuk minum teh Karkadeh (bunga raya). Aku duduk di tepi peniaga teh itu – secara am, semua peniaga the sebegini adalah wanita.

+ Sekali lagi, Nagi tidak melepaskan peluang untuk merakam memori

+ Lelaki Sudan leka bersama telefon bimbitnya di sekitar 'pantai' itu

+ Tekunnya mereka menyaksikan teater jalanan yang dipersembahkan di kawasan perkelahan itu

Di Khartoum, inilah “gerai” teh/kopi yang sering di lihat di tepi jalan raya, di bawah pokok di mana jua. Konsep perniaagaan yang tidak perlukan belanjawan besar. Berbekalkan kopi tempatan, teh biasa, dan beberapa rempah yang bakal dicampur di dalam kopi atau teh, siapa sahaja boleh memulakan perniagaan ini. Mejanya pula cuma kotak-kotak sahaja, dan bangku tempat untuk duduk. Inilah rasmi orang Sudan yang kebanyakannya lelaki untuk duduk ramai-ramai dan menghirup kopi tanpa ada tanda waktu tertentu. Cuma yang memeranjatkan aku apabila, sesenduk kecil gula dimasukkan kedalam “karkadeh” aku, di mana aku cepat memintas untuk menyatakan aku bukannya seperti orang Sudan yang lain yang sukakan teh yang terlalu manis. Wanita itu lekas mengurangkan gula untuk the aku. Semasa menikmati teh aku, ada kanak-kanak yang menghampiri menawarkan perkhidmatan “varnish” – mengilatkan kasut. Bagus juga ye, cuma pada hari tu aku selesa memakai selipar. Upahnya? Cuma dalam 20-30 sen rasanya.

Dalam perjalanan balik ke kereta kami, Nagi melihat sekumpulan orang yang hingar bingar dengan hilai ketawa. Ada sesuatu yang mereka kerumuni. Ada penggiat teater jalanan yang tengah membuat persembahan. Kerana ia di dalam bahasa Arab aku tidak pasti apa plotnya - cuma aku kagum dengan aktivis ini, yang cuba menghidupkan kegiatan teater mereka berasaskan minat, di dalam negara yang agak sendat dengan peraturan yang agak ekstrim. Manakan tidak, baru Jumaat lepas, ada demonstrasi yang khabarnya diketuai oleh Presidennya menuntuk kerajaan Denmark untuk memohon maaf kerana isu kartun Nabi Mohamad keluar semula. Aku tidak pasti tentang ini. Tetapi Nagi berkata yang demonstrasi itu agak besar magnitudnya, lebih 5,000 orang tampil mengutuk tindakan itu. Aku sendiri tidak faham, kenapa orang luar ingin menyentuh isu sensitif sedemikian. Tidakkah mereka sedar akibat tindakan sedemikian, berasaskan apa yang mereka lihat pada kali pertama kartun itu dilakar dan dihidupkan di dalam suratkhabar mereka. Mereka tidak belajar. Mereka suka akan ketidaktenteraman. Lagilah aku tidak faham, di negara seperti Sudan yang begitu kuat melaungkan Allahua Akbar, tetapi di dalam masa yang sama penyelewengan masih berleluasa, masyarakat masih ramai yang miskin, yang kaya terus menjadi kaya dan adanya kegiatan mengusahakan ‘wine’ tempatan. Itu semua bermain di kepalaku.

Kami tinggalkan “pantai” tersebut dan Nagi punyai idea untuk menjemput aku ke rumahnya kerana aku punya waktu sebelum menghadiri makan malam di rumah Wendy. Aku tidak pasti samada aku teruja atau sebaliknya. Aku ikutkan sahaja kerana Nagi begitu bersungguh ingin menemukan aku dengan isteri dan kaum keluarganya. Untuk sesuatu alasan yang aku sendiri tidak pasti, dia berasa bertuah dapat berkenalan dengan aku. Aku ke rumahnya. Rumahnya seperti satu kompleks. Di mana, ada beberapa keluarga diam di situ - adik beradik serta orang tuanya. Nagi sempat menyuruh isterinya menyediakan hidangan sedikit sebanyak. Isterinya, dari gerak percakapannya, menyatakan Nagi sudah banyak bercerita tentang aku. Aku berasa segan. Apa yang sudah aku lakukan. Aku duduk di ruang tamunya, menjamah kurma dan kacang. Sungguh mudah. Dan untuk merehatkan tekak, aku dihidangkan dengan air “ganglees” - sungguh menyamankan dengan rasaya seakan-akan barli. Akan tetapi sekali lagi, terlalu manis bagi aku. Sebelum solat Asar di surau yang dibangunkan oleh ayah Nagi, aku sempat berkenalan dengan keluarga Nagi – emak ayahnya. Mereka acap kali mengulangi ucapan yang sama, di dalam bahasa Arab – moga Allah mengurniakan kesihatan dan rezeki kepada aku. Terima kasih aku ucapkan.

+ Ini adalah kawasan sekitar rumah Nagi. Kelihatan sekumpulan anak muda. Jangan berasa janggal kerana aku dimaklumkan, kaum lelaki yang akrab akan selalunya berpeganggan tangan di khalayak ramai

+ Hidangan ringkas yang disajikan di rumah Nagi oleh isterinya

+ Isteri Nagi ketawa melihat gelagat aku merakamkan gambar kambing-kambingnya. Kambing diternak untuk susu dan dagingnya

+ Dari kiri - Nagi, ibunya, bapanya dan adiknya. Anak lelaki itu adalah anak buah Nagi bernama Muhammed

+ Cerek ini digunakan untuk mengambil wuduk di surau yang di bina oleh ayah Nagi

+ Ini adalah bekas air yang boleh dilihat di surau atau tepi jalan - boleh digunakan untuk minum dan juga wuduk

+ Dalam perjalanan pulang, keluar dari rumah Nagi, aku lalui kawasan ini. Masih dekat dengan rumah Nagi

Oleh kerana Nagi terpaksa bertugas pada Jumaat itu, dia bergegas menghantar aku pulang. Dan pada masa yang sama, aku ingin menunaikan janji untuk menghadiri makan malam yang dikelolakan oleh Wendy di kediamannya. Makan malam yang santai. Berbekalkan dua kotak jus dan tiga mempelam kecil, aku ke rumahnya. Wendy ialah kenalan Malaysia yang bekerja di UNHR – organisasi yang mengelolakan pelarian. Aku kenal Wendy semasa pertemuan dengan Pak Lah di Nairobi tahun lepas. Wendy baik orangnya. Itu yang jelas pada aku - orang Malaysia, kalau di perantauan, akan sentiasa tolong menolong sesama mereka. Akan tetapi, sebaliknya berlaku apabila berada di Malaysia.

+ Ima - sudahlah dia bertungkus lumus di dapur, dia masih segar melayan tetamu. Asal Ima dari Kenya dan Ugali itu adalah hasil masakan beliau

+ Inilah Ugali - makanan harian Kenya

Malam itu, kami menikmati Ugali – hidangan Kenya, dimasak oleh Ima. Ima adalah staf Wendy yang sudah berada di Darfur selama dua setengah tahun. Ugali adalah tepung gandum yang dimasak dengan air panas sehingga menjadi ulian dan di makan dengan kobis yang direbus, dan ayam seakan kari. Ia makanan baru buat aku – ia merupakan makanan yang agak cepat memuaskan kehendak perutku. Kami sempat berbual perihal perkongsian kuasa di Kenya, pengalaman di Kenya, cerita Darfur dan lain-lain lagi – merupakan makan malam yang betul-betul santai. Itulah yang terbaik untuk aku setelah seharian ke sana sini.

+ Pulang ke rumah setelah seharian padat meneroka Khartoum

Setelah selesai makan malam dan berbual bersama dengan Wendy dan Ima, aku dapat rasakan yang masanya untuk beredar – aku keletihan. Aku perlu pulang ke rumah aku di St 47, Amarat – mungkin untuk melelapkan mata kerana hari Jumaat ini agak terlalu panjang dan penuh dengan kegiatan. Tetapi yang pasti, aku pulang dengan penuh rasa kepuasan kerana hari aku sungguh penuh dengan aktibiti dan semuanya berjalan dengan penuh lancar. Yang pasti, Khartoum memberikan aku satu pengalaman yang tidak mungkin aku lupakan.

1 Comments:

At March 04, 2008 9:44 AM, Anonymous Anonymous said...

I wish I could be there too. :)

 

Post a Comment

<< Home