Kampong Talang - where it all begins...

"There is only one thing in life worse than being talked about, and that is not being talked about" - Oscar Wilde

Tuesday, June 24, 2008

Kenangan bersama Onyang

Aku tak tahu mengapa aku tiba-tiba teringat kepada arwah Onyang - moyang aku. Aku tak tau aku rindu kepada Onyang. Tiba-tiba segala kenangan aku dengan Onyang datang kepada aku. Kebelakangan ini, kepala aku berkecamuk dengan macam-macam perkara, terutama pasal kerja, pasal projek, pasal hidup, pasal masa depan dan lain-lain.


Nama Onyang - Hjh Samsiah. Semasa hayat Onyang, setau aku semasa aku rapat dengannya, aku belum bersekolah. Aku suka sangat pergi ke rumah Onyang. Rumah Onyang tak jauh dari rumah aku, dalam 15 minit berjalan kaki. Aku suka ke rumah Onyang - dia suka layan aku. Tatkala emak sibuk menyapu laman dengan penyapu lidinya, aku menyelinap ke rumah Onyang. Onyang akan buatkan kuih, kuih kutil (cucur), lepas minum dengan teh O, Onyang ajak duduk bawah pokok ciku tua tepi tebing, atas jalan utama. Rumah Onyang atas bukit sikit. Suara tua Onyang bergetar semasa bercerita cerita-cerita lama. Salah satu cerita dia bertajuk Panggang Lalat - aku tak pasti inti pati cerita tu, tapi ia bagaikan getah nangka melekat di benak aku. Onyang banyak cerita. Itu yang aku ingat.

Bagi aku, hidup aku masa itu terlalu ringkas. Aku sukakan kehidupan begitu - kehidupan awal di Kg Talang. Tahun-tahun awal sebelum aku mengorak langkah ke sekolah rendah. Berbalik kepada cerita Onyang, bagi aku Onyang lah orang yang mengikat tali kekeluargaan sebelah emak aku. Dengan adanya Onyang, kami bersatu. Tidak seperti sekarang - aku dan sepupu lebih kepada membawa arah masing-masing.

Semasa kepergian Onyang (rasanya usianya mencecah 100 tahun semasa dia pergi), emak ada menyatakan "Onyang kau, sebelum dia meninggal, dia ada tanya pasal kau Zul". Hati aku sebak. Dengan ganggang telefon masih erat di dalam tangan aku - aku terdiam dan aku tidak berapa pasti. Tiada perasaan terbit dalam diri aku. Aku keliru. Yang pasti aku terdiam sejenak. Selepas aku berhenti bercakap dengan emak aku, aku balik ke bilik aku di The Leys School tu, aku masih bertarung dengan perasaan aku. Aku rasa cukup bersalah. Tidak aku sangka - selama bertahun aku terpisah daripada Onyang, sedari aku darjah 2 dan berpindah ke Tg Ipoh, masuk asrama di Kuala Pilah dan pergi ke UK buat A'Levels; dan Onyang masih ingat tentang aku.

Aku tidak pernah berkongsi dengan sesiapa tentang rasa bersalah aku - sehingga sekarang. Aku tidak pernah beritahu kepada keluarga aku pun. Aku rasa cukup bersalah terhadap Onyang selepas itu. Sampai sekarang, aku masih tak dapat maafkan diri aku. Aku bukan menghukum diri. Cuma aku rindukan Onyang. Dan aku rindukan kehidupan lampau - yang jauh lebih ringkas.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home