Kampong Talang - where it all begins...

"There is only one thing in life worse than being talked about, and that is not being talked about" - Oscar Wilde

Saturday, February 14, 2009

Abah, Emak, Paul, Restoren Milano di Dun Laoghaire dan Revolutionary Road

Hujung minggu ini tiada apa yang istimewa aku rasakan. Cuma ada rakan-rakan terdekat yang tidak sabar menunggu kehadiran Hari Kekasih pada hari ini. Pada aku, Hari Kekasih ini adalah bagaikan hari-hari biasa yang lain. Mungkin kerana aku sendiri tidak menyambutnya. Ada pula sepupu aku mengatakan, "Bagi aku, setiap hari adalah hari kekasih!".

+ Hujung minggu ni, entah kenapa, aku terlalu rindukan abah. Selalunya kalau aku ada di kampung, kalau tiada apa-apa aktibiti lepas Asar dan sebelum Maghrib, aku akan ajak abah ke Kuala Pilah untuk teh tarik - cuma kami berdua, ke kedai kopi yang sama iaitu Aziz Cafe. Tiada gangguan. Kami berbual kosong sambil menikmati roti canai dan teh tarik. Dan semasa Ramadhan pula, abah menggemari Kuey Teow goreng dari pasar Ramadhan di Kuala Pilah. Dan satu perkara yang aku rindukan adalah, ucapan "terima kasih" Abah setiap kali akan turun daripada kereta aku, selepas sampai ke rumah. Ucapan terima kasih itu tidak pernah lekang dari bibirnya. Dia pernah kata - Abah ucap terima kasih sebab dapat tumpang rezeki anak-anak...

+ ...dan juga Mak, aku rindukan Mak juga. Tapi Mak telefon beberapa kali minggu ni, tak tau kenapa. Tapi dia kata - saja nak berbual dengan Zul (sebenarnya dia hendak beritahu yang dia "sibuk" dengan kehadiran cucu-cucu barunya!). Setiap kali Aidilfitri, semasa bersalam dengan Mak, skrip Mak tak pernah berubah "Tak ado doso kau kek omak, omak dah ampunkan doso anak-anak omak lopeh omak solat!" Di dalam gambar ini, Mak tengah bersalaman dengan "blue-eyed boy" dia, si Nazrol! Aku pernah menyakat Mak, "Kalau omak dah maafkan kito somo lopeh solat, tak porlu la bomaafan di pagi ghayo ni!" Mak akan tersenyum aje.

Lockz, kawan rapat aku di sini berada di Amsterdam sekarang untuk menyambut Hari Kekasih (aku begitu gembira kerana ini kali pertama dia menyambutnya dengan seseorang), dan Luke pula mengadakan majlis makan malam bersama-sama teman di Brussels, yang dihiasi dengan pertukaran hadiah dan lain-lain (sudah pasti banyak gambar yang bakal kita lihat di blognya). Alangkah bagusnya kalau aku dapat bersama, tetapi semua tiket kapal terbang agak mahal kerana syarikat penerbangan tahu yang ramai akan beterbangan hujung minggu ini - bayangkan tiket semahal Eur300!

+ Lawatan ke Malahide Castle sehari sebelum Ramadhan tahun lepas. Sungguh menyeronokkan.

Sekarang – Sabtu malam, 7.00 pm – Aku sedang menantikan Paul untuk datang dari pusat bandar ke Dun Laoghaire. Aku sudah lama tidak bertemu dengan dia, dan dia ingin mendapatkan pandangan aku perihal skrip dia bertajuk "Passenger". Aku sudah habis membaca skrip dia semasa aku di dalam penerbangan ke Bristol, UK pada 24/01. Aku perlu memasak untuk dia, akan tetapi aku tidak punyai kudrat untuk memasak. Sudah lebih dari seminggu dapur aku tidak berasap.

+ Antara juadah puasa yang aku suka - cucur pisang. Aku suka juga Buah Melaka.

Untuk 2-3 hari lepas, aku menghidap demam lagi. Sudah 3 kali aku meghidap demam sejak musim sejuk kali ini – 2 yang terakhir ini agak menyeksakan. Aku tidak tahu mengapa. Kali ini begitu mudah untuk aku mendapatnya. Aku semakin bingung. Mula-mula, aku mendapat batuk yang agak gatal sehinggakan aku tidak dapat berada di pejabat semalam. Malam tadi, hidung pula tersumbat. Macam-macam. Hari ini, badan semakin sakit dan aku muntah di dalam bilik mandi. Yang menghairankan aku, apabila aku muntah tiada apa-apa yang terkeluar - cuma sedikit kesan darah, mungkin tekak aku tercalar. Tiada sisa makanan keluar - baru aku sedar, aku tidak makan sejak dari petang semalam! Aku terlalu lemah, aku rasa. (Aku bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, kerana pada masa yang sama, aku mengalami muscle-spasm di bahagian kiri belakang aku, yang membuatkan aku tidak berapa selesa ketika duduk ataupun berbaring)

+ Lawatan ke Glendalough, Co Wicklow, Ireland - sungguh cantik. Aku boleh pergi seribu kali, dan tidak akan bosan dengan keindahannya!

Nota: Aku menelefon makcik yang sudah aku anggap sebagai ibuku juga di Malaysia – mendengar suara aku, dia tangkas bertanya "Zul demam ke? Kasihan Zul". Mendengar batuk aku yang kencang, makcik segera memberi satu petua untuk meredakan batuk kerana dia amalkan petua yang sama; perahkan air limau dan masukan 2 camca teh 'tochu' (kicap) ke dalamnya. Dan, selepas itu letakkan sedikit demi sedikit ke atas lidah (bukan dihabiskan pada masa yang sama) - buat sehingga perahan tadi dihabiskan. Itu yang aku lakukan hari ini. Insya Allah ada redanya nanti.

Aku harap, aku akan sihat secepat mungkin – dari segi fizikal dan mental. Aku sudah mulakan projek baru yang aku rasakan aku mampu lakukannya. Aku tidak tau di mana silapnya di dalam diri aku, projek ini belum ke mana. Aku belum mulakannya lagi. Aku semakin risau kerana aku diberi 3 minggu sedangkan 1 minggu sudah berlalu dan tiada apa yang sudah boleh dinamakan "progress". Tiada apa yang aku boleh salahkan. Cuma diri aku sahaja yang mampu mengubahnya. Aku akan cuba Isnin ini. Mahu atau tidak, aku perlu. Sakit atau tidak, aku perlu lakukan sesuatu. Tenang atau tidak keadaan sekeliling aku, aku perlu lakukan kerja aku ini.

+ Lawatan ke York, UK tahun lepas (2008). Lawatan ini bermakna kerana, sejak tahun 1991 lagi aku ingin melawat York, tidak pernah kesampaian. Sungguh cantik bandar ini.

Nota: Aku makan malam dengan Paul di Restoren Milano, Dun Laoghaire yang baru dibuka beberapa hari, ini kerana aku begitu lemah untuk memasak. Aku cuma makan Bruschetta sahaja sebab dah kenyang makan pisang dan muffin sebelum keluar dari rumah - dan selera aku agak kurang. Yang menariknya, ramai pasangan makan malam bersama sempena Hari Kekasih, akan tetapi, kami bercerita tentang "Revolutionary Road" dengan hebatnya – apa yang tersirat, dan tersurat di dalam filem itu.

+ Menikmati minum petang di persisir air di bandar Stockholm pada tahun 2007. Ingat lagi kecantikan Stockholm, Sweden yang penuh air itu. Tapi sekarang ini terlalu sejuk untuk ke negara Nordic. Teringat aku semasa kami menyaksikan perbarisan berkuda di persekitaran istana di Stockholm. Di dalam gambar ini, aku masih memakai kacamata - sebelum aku menjalankan prosedur Lasik.

Paul, yang ingin mencipta nama di dalam bidang perfileman, dan aku setuju, di dalam konteks filem itu, walaupun sesebuah hubungan itu mengalami kekusutan tidak semestinya ia tidak boleh diselesaikan. Ini kerana wujudnya sebuah hubungan kerana adanya dua jiwa yang menyayangi satu sama lain pada mulanya. Dan dua jiwa ini juga punya kuasa untuk meneruskan hubungan ini kerana ia terbina atas dasar sayang sedari awalnya. Dan tiada punca lain yang mampu memusnahkannya melainkan salah seorang dari dua jiwa itu sendiri. Panjang lebar kami huraikan Revolutionary Road. Kami tidak hiraukan ayat-ayat cinta yang menari di dalam restoren itu.

Oh setakat ini, jam 11.00 pm 14/02, petua untuk menghilangkan batuk itu agak berkesan. Terima kasih makcik, saya ucapkan. Insya-Allah aku akan habiskan seluruh air limau yang aku perah tadi. Aku mengharapkan yang aku akan bertambah sihat esok kerana aku perlu untuk bermain skuasy bersama Xavier dan Barry – kalau kudrat aku membenarkan. Aku hantar Paul pada pukul 10.15 pm untuk mendapatkan Bas 46A untuk ke Donnybrook (berhampiran dengan UCD, medan aku bermain skuasy). Aku pun perlukan udara segar dengan berjalan dari rumah ke tempat menunggu bas, di luar pekarakangan Pusat Membeli Belah Dun Laoghaire. Dalam rintik hujan itu aku atur langkah aku pulang ke rumah.

** Gambar-gambar yang digunakan merupakan gambar-gambar lama yang mungkin telah pernah dipaparkan. Akan tetapi aku selitkan juga, kerana ia menggambarkan mood aku pada hujung minggu ini.

7 Comments:

At February 15, 2009 3:07 AM, Blogger dzan said...

bersendirian yang berlarutan mengkontangkan hati yg dulunya ramai dan mesra!!!

 
At February 15, 2009 3:11 AM, Blogger dzan said...

the only time i remember ever celebrate valentine day is when i was 17 yr old. come to think of it, certainly no BIGGER deal than bDays!!

but for those who celebrate.. be happy. for those who do not...i'm sure we have all the ppl around who remember and yearn for us just as much. :-)

 
At February 15, 2009 9:36 AM, Blogger zuL said...

Dzan, I dont really give a great deal towards the V-Day really. I cant be bothered / asked. But the amount of commercialisms around it, it is just too much. It suffocates me.

I have got so much on top of my head to be busy with over the weekend. Yeah I know, my weekend has always been quiet, slow & uneventful anyway. It kills me to the bones, but insya'Allah I will try to go thro' it. In the name of God, it can be too lonely here :(

Sometimes I have to drag people to do things like squash so that my weekend is a bit filled. That is the only thing that I have. So, that is how I am leading my boring, quiet, lonely life over here. I hope, that will SOON change. Doakan aku. Doakan cita-cita aku tercapai.

Finally, kirim salam pada your ratu, Putera, Puteri dan Budi. Dah besar aku tengok budak-budak tu dalam Puteri's Blog!

 
At February 16, 2009 2:50 AM, Anonymous Anonymous said...

Weiii, puitis le pulak kau ni...Aku rasa kau kena pergi take out your tonsil. Kalau duduk negara sejuk2 ni tonsil senang kena serang. Anyway, take care k.

 
At February 16, 2009 5:12 PM, Blogger Fina Roslan said...

salam Zul..
entry awak kali ni betul2 membuatkan saya rindu pada abah n mak saya:(
huhu~~
semoga cepat sembuh:)

 
At February 16, 2009 5:36 PM, Blogger zuL said...

1) Emi, I can deal dengan tonsilitis tu, tapi the cold, thats something I really hate. Hari tu dah jabbed for flu before X'mas, nampaknya tak menjadi. Lagipun aku dibebankan dengan macam2 masalah lewat ini, tapi aku hang in there aje - sbb aku tau, one day, insyaAllah selesai. And I never forget to count my blessings. I can't wait for the sun to come out and for spring to arrive early <-- Zul is dreaming.

2) Fina, yes that is hard when we are so far away. I was panicking when my father was hospitalised in June last year. So, there you go. Anyway, apa pun kita mampu buat - cuma berdoa akan dapat bersama ONE fine day!

/zuL

 
At April 13, 2009 8:45 AM, Blogger Rezeki Translation said...

pilah? hehe.. mee brahim next kat pasar pilah pun sodap, skali ngan cendol kat bus stand..

 

Post a Comment

<< Home